BOTSWANA yang merupakan penempatan gajah terbesar di dunia, sedang menyiasat kematian misteri sekurang-kurangnya 154 gajah selama dua bulan di barat laut negara itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menolak kemungkinan kematian akibat pemburuan haram atau keracunan.

"Kami masih menunggu keputusan berhubung punca kematian sebenar," kata Penyelaras Hidupan Liar Wilayah Dimakatso Ntshebe kepada Reuters.

Apa yang menjadi misteri adalah, bangkai gajah ditemukan dalam keadaan baik, tanpa sebarang kesan menunjukkan ia telah diburu.

Siasatan lanjut juga menolak kemungkinan ia telah diracun oleh manusia, yang kadang-kadang terjadi kepada hidupan liar di situ.

Populasi gajah Afrika secara keseluruhan menurun akibat aktiviti pemburuan haram.

Namun di Botswana, tempat tinggal kepada hampir sepertiga gajah benua itu, bilangannya telah meningkat kepada 130,000 daripada 80,000 pada akhir 1990-an, memandangkan ia diurus dengan baik.

Bagaimanapun, ia menjadi satu masalah kepada para petani kerana tanaman mereka dimusnahkan gajah yang berkeliaran di negara Afrika Selatan itu.

Presiden Mokgweetsi Masisi tahun lalu membatalkan larangan yang berkuat kuasa selama lima tahun ke atas pemburuan besar-besaran, yang dikenakan sebelumnya oleh bekas presiden Ian Khama.

Bagaimanapun, musim berburu tidak berlangsung seperti biasa pada April lalu akibat larangan perjalanan yang dilaksanakan di kebanyakan negara susulan penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Jabatan Hidupan Liar telah menjalankan operasi memindah dan membuang sumbu badak dalam usaha mengatasi perburuan liar di Botswana.

Paling teruk terjejas ialah populasi badak Delta Okavango yang menyaksikan 25 badak diburu antara Disember 2019 dan awal Mei tahun ini, apabila pemburu mengambil kesempatan daripada ketiadaan pelancong safari susulan wabak COVID-19.

Mengikut rekod sebelum ini, sebanyak 31 badak diburu sejak Oktober 2018 hingga Disember 2019.

"Badak putih dan badak hitam, kedua-duanya terjejas teruk, membuatkan kita perlu memindahkan badak hitam yang sangat terancam dan meningkatkan pengawasan," lapor Jabatan itu.